Wanita UMNO Sabah mahu lebih ramai wanita jadi YB

PENAMPANG: Wanita UMNO Sabah mahu lebih ramai penglibatan wanita diketengahkan sebagai pemimpin di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Ketuanya, Senator Datuk Noraini Idris berkata, bagaimanapun perkara itu memerlukan kerjasama semua pihak agar kehadiran wanita dalam arena politik tempatan kekal relevan.

“Bagi wanita UMNO Sabah memang kita sentiasa mengalu-alukan untuk lebih ramai pemimpin wanita diketengahkan sama ada di peringkat DUN atau Parlimen, Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara.

“Tapi, ia memerlukan kerjasama dari semua pihak, bukan wanita sahaja malahan perlu kerjasama daripada pihak lelaki untuk memberi kami peluang.

“Dengan adanya peluang, kita boleh melibatkan diri di semua peringkat,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitiri di Wisma Kinsabina, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Noraini (kanan) mengiringi Bung Moktar pada sambutan Aidilfitri Wanita UMNO Sabah di Penampang.

Ditanya sama ada Wanita UMNO Sabah sudah meletakkan sasaran atau mencadangkan nama calon wanita bagi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang, Noraini menyatakan pihaknya setakat ini masih dalam perbincangan mengenai perkara itu.

Namun, beliau berkata pihaknya mengharapkan lebih ramai pemimpin wanita diketengahkan kerana ramai yang mempunyai kredibiliti untuk ditampilkan sebagai calon.

“Bagaimanapun, semua keputusan itu kita serahkan kepada pucuk kepimpinan tertinggi. Mereka yang boleh menentukannya.

“Kita juga akan berbincang dengan Wanita UMNO Pusat untuk ketengahkan sesiapa yang layak tetapi keputusan akhir itu terserah kepada kepimpinan di atas,” katanya. – Info X