Penyudah Sabah tumpul, aksi Sang Badak vs KL City terikat 0-0

KOTA KINABALU: Penyudah tumpul menyebabkan Sabah gagal mencipta gol ketika menentang KL City FC dalam aksi kedua Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 0-0 di Stadium Likas, malam tadi.

Datuk Ong Kim Swee yang mengakui perkara itu turut menyifatkan perlawanan menentang KL City sebagai sesuatu yang bukan mudah sejajar reputasi pelawat sebagai antara pasukan yang baik.

Jelasnya, walaupun skuad Sang Badak bermain agak baik dan berjaya menghalang kemaraan KL City daripada memenangi perlawanan, berkongsi satu mata memaksa Sabah perlu bekerja kuat untuk memenangi perlawanan ketiga menentang Kuching City, esok.

“Secara keseluruhan kita bermain agak baik, namun penyudah yang tumpul di mana kita mempunyai peluang begitu banyak.

“Jadi kita harus bangkit ketika bermain dengan Kuching City untuk memastikan kita layak ke perlawanan akhir nanti,” katanya selepas perlawanan malam tadi.

Kim Swee berkata, sepanjang perlawanan, beliau turut melakukan beberapa pertukaran pemain bagi memastikan mereka mendapat minit permainan dalam usaha meningkatkan prestasi dan persembahan ketika beraksi di padang.

“Kita mempunyai beberapa pertukaran dan ia penting supaya pemain mendapat minit permainan, di mana ramai pemain yang dimasukkan,” katanya.

Antara aksi pemain Sabah FC vs KL City dalam perlawanan kedua pra musim Piala SMJ di Stadium Likas. Pix Sabah FC

Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City, Miroslav Kuljanac, menyifatkan perlawanan malam tadi bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan gol memandangkan kedua-dua pasukan bermain dengan baik.

Berikutan keputusan malam tadi, KL City kekal berada di kedudukan teratas dengan empat mata selepas mendapat kelebihan gol berbanding Sabah FC di tempat kedua dengan jumlah mata yang sama.

Kuching City pula memintas Hougang United untuk naik ke kedudukan ketiga selepas berjaya menewaskan pasukan dari Singapura itu 1-0 dalam perlawanan kedua mereka petang semalam.

Esok, Sabah FC bakal berdepan dengan Kuching City, manakala KL City berdepan dengan Hougang United sebelum ke perlawanan penentuan pada Ahad nanti. – Info X