Sembilan ditahan polis didakwa penduduk berstatus tanpa negara

KOTA KINABALU: Sembilan individu tanpa dokumen yang ditahan polis kerana menyertai Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah di hadapan Menara Kinabalu, di sini, semalam didakwa sebagai penduduk berstatus tanpa negara.

Kordinator sekreteriat perhimpunan itu, Mohd Norhamdin Nordin, mendakwa sembilan yang ditahan polis itu ialah masing-masing seorang guru dan lapan pelajar sekolah alternatif Teluk Layang, di sini, yang berstatus penduduk tanpa negara atau ‘stateless’

“Kami bersolidariti bersama guru dan pelajar terbabit yang ditahan semalam dan kami menuntut keadilan untuk mereka serta memantau rapat kesi tu,” katanya pada sidang media sebelum kumpulan berkenaan bersurai di hadapan Menara Kinabalu, di sini, pagi ini.

Semalam, polis mengesahkan seramai sembilan individu yang menyertai perhimpunan itu ditahan kerana dikesan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Mohd Norhamdin berkata, isu kanak-kanak dan individu tanpa dokumen atau berstatus tanpa negara sudah lama berlarutan di Sabah yang sepatutnya diselesaikan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, kerajaan seharusnya mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu penduduk tanpa dokumen dan memberikan mereka hak untuk mendapatkan pendidikan seperti dinyatakan dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – Info X