Perhimpunan #KamiMahuAir ditamatkan tanpa menyerahkan memorandum

KOTA KINABALU: Kumpulan Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah hanya mahu menyerahkan memorandum berkaitan isu air Sabah kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika berhimpun di hadapan Menara Kinabalu, di sini, petang tadi.

Mereka enggan menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan, termasuk Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya selaku menteri bertanggungjawab dalam soal air yang berada di lokasi.

Kumpulan terbabit yang terdiri daripada mahasiswa, wakil komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) sanggup menunggu di pekarangan Menara Kinabalu sehingga Ketua Menteri turun.

Bagaimanapun, difahamkan, Ketua Menteri tidak berada di pejabatnya ketika kumpulan terbabit tiba di Menara Kinabalu untuk menyerahkan memorandum terbabit.

Penyelaras perhimpunan, Mohammad Norhamdin Nordin, 23, berkata, pihaknya akan kekal menunggu sehingga Ketua Menteri Sabah hadir sendiri menerima memorandum yang disediakan kumpulan itu.

“Saya selaku mahasiswa UMS sudah pernah datang ke Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk berbincang malahan hari Khamis baru-baru ini juga kami sudah bertemu dengan Datuk Shahelmey Yahya namun masalah air yang dihadapi tetap sama.

“Oleh itu, sekarang kami hanya mahu bertemu terus dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Kita hanya membuat perhimpunan tanpa membawa senjata malahan bersedia sekiranya pihak polis mengambil tindakan ke atas kami.

“Kami cuma melaksanakan hak untuk berhimpun dan bersuara untuk mewakili pihak mahasiswa dan rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui di hadapan Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Terdahulu peserta perhimpunan itu yang disertai kira-kira 80 orang berarak lebih dua kilometer bermula dari pintu gerbang UMS menuju ke Menara Kinabalu, di sini. – Info X