KOTA KINABALU: Hujan berterusan di daerah ini dan Penampang sejak tengah hari tadi, menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air, selain berlaku kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Penampang dalam satu kenyataan memaklumkan beberapa buah kampung tidak boleh dilalui selepas dinaiki air.

“Hasil pemantauan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mendapati Kampung Kolopis dan Sugud tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
“Sepasukan anggota sudah digerakkan ke lokasi banjir bagi bersedia dengan sebarang kecemasan dan anggota keselamatan lain termasuk pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta PKOB turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya.

Tambahnya, penduduk sekitar juga diarahkan untuk sentiasa berwaspada sekiranya terdapat keperluan untuk berpindah berikutan bacaan Sungai Moyog berada pada paras waspada, iaitu lapan meter.
Difahamkan, hujan lebat berterusan hingga petang ini turut menyebabkan tanah runtuh di beberapa kawasan hingga menutup laluan.
Antara yang dikenal pasti setakat ini ialah berhampiran Kampung Babagon Toki dan Kampung Timpoluon, Penampang dan Jalan Kota Kinabalu- Tambunan.
Beberapa kawasan lain di sekitar ibu negeri seperti di Kionsom, Kionsom Lama, Pomotodon dan Jalan Kionsom, Inanam serta Kampung Rampayan dan Mansiang, Manggatal turut dilaporkan antara yang terjejas akibat banjir.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi dalam kenyataan terbaharunya memaklumkan amaran ribut petir dijangka melanda sebahagian besar kawasan di Sabah sehingga jam 7 malam ini.
Kawasan itu termasuklah di bahagian Pedalaman dan Pantai Barat, selain turut meliputi Sandakan, Tongod, Beluran serta Kudat di utara dan pantai timur Sabah.
Katanya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk setiap keluaran.
Jabatan itu juga menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan merancang perjalanan dengan sebaiknya.
Katanya penduduk yang mendiami kawasan hotspot banjir juga diingatkan agar sentiasa berwaspada. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ