Katherine berterima kasih dan terharu diselamatkan Sammy

PENAMPANG: Wanita warga emas, Katherine Tsen Kin Lin, 68, yang diselamatkan oleh Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton semasa kejadian banjir di daerah ini pada 1 Julai lalu merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada Sammy dan warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Beliau berkata, rasa terima kasih tidak terhingga itu diberikan kepada mereka kerana menyelamatkan nyawanya semasa berdepan kejadian cemas semasa bencana banjir terbabit.

Katherine kemudian melawat IPD Penampang bagi menyampaikan penghargaan terhadap tindakan murni dan pertolongan yang diberikan itu.

Semasa berkongsi detik mencemaskan itu,  Katherine berkata, sebelum kejadian itu dia dan majikannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Likas, Kota Kinabalu selepas berurusan di Keningau.

“Kami bertolak balik ke Kota Kinabalu dari Keningau kira-kira jam 2.30 petang dan kami tidak tahu Penampang dilanda banjir ketika itu.

“Sepanjang perjalanan pulang, cuaca sangat teruk dan terdapat banyak tanah runtuh di sepanjang Jalan Penampang ke Keningau dan keadaan itu melambatkan pergerakan balik,” katanya.

Beliau berkata, syukurlah awal pagi mereka sudah sampai di Penampang, bagaimanapun keadaan jalan masih digenangi air ketika itu.

“Apabila tiba di Jalan Kasigui, kami melihat ada sebuah kenderaan tersadai di tepi jalan, tetapi majikan saya mengambil keputusan untuk meredah jalan agar kami dapat balik segera ke rumah tambahan pula kami menaiki kenderaan tinggi iaitu pacuan empat roda.

“Malangnya, apabila melalui bulatan di Jalan Kasigui, kenderaan kami tersasar ke dalam parit disebabkan arus banjir yang kuat dan kami tidak dapat beredar dari kawasan itu atau meneruskan perjalanan.

“Ketika itu saya sangat takut kerana kurang arif tentang banjir dan tidak pernah berdepan masalah banjir sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, tidak lama selepas itu, mereka dibantu dua penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan itu dan menolong mereka keluar dan naik di bahagian belakang trak pacuan empat roda terbabit.

“Mereka menyarankan agar kami berjalan kaki untuk mendapatkan bantuan tetapi malangnya kaki saya sakit dan tidak boleh berjalan di dalam banjir.

“Pasukan kecemasan lain tidak dapat segera ke tempat kami kerana mereka perlu melakukan operasi menyelamat di kawasan lain dahulu sebelum ke kawasan kami berada ketika itu.

“Disebabkan tidak dapat menunggu lebih lama, saya mengambil keputusan menghubungi Balai Polis Penampang dan syukurlah mereka datang dengan segera dan memberikan bantuan,” katanya.

Katanya, ketika itu dia dibantu Sammy yang mengangkat dan memindahkannya ke kenderaan pasukan.

“Ketika itu saya tidak mengetahui pegawai polis yang mengangkat saya adalah Ketua Polis Daerah Penampang.

“Apabila mengetahui beliau ialah Ketua Polis Daerah Penampang saya sangat terkejut dan terharu, beliau sangat berdedikasi kepada masyarakat, beliau melaksanakan tugas bukan hanya menjaga keselamatan daripada penjenayah tetapi prihatin dengan kebajikan rakyat.

“Saya begitu beruntung dan hari ini saya datang mengunjungi IPD Penampang bagi menyampaikan rasa terima kasih dan kesyukuran saya dengan bantuan yang mereka berikan,” katanya.

Beliau juga mendoakan agar penugasan pihak polis menjaga keselamatan negara dan rakyat di daerah ini terus dijalankan dengan penuh amanah dan dipermudahkan.

Bantuan terbabit dilaksanakan semasa Sammy bersama pasukan petugas Op Banjir Daerah Penampang turun padang memantau keadaan banjir di Penampang.-UTUSAN BORNEO