PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di kilometer 20 Jalan Papar Lama, Putatan, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kes kemalangan jalan raya membabitkan dua motosikal, jam 5.10 pagi.
Katanya, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kedua-dua motosikal berkenaan datang dari arah Penampang menuju ke Papar.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian di Jalan Papar Lama, berlaku kemalangan dan penunggang motosikal pertama seorang lelaki berusia 19 tahun ditemui di dalam lubang takungan air pembahagi jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, penunggang motosikal kedua lelaki tempatan berusia 21 tahun mengalami cedera dibahagikan mata, muka dan tangan.
“Mangsa dibawa ke HQEI Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung dengan pegawai penyiasat trafik Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” katanya.
Sementara itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang turut berada di lokasi kejadian bagi membantu mengangkat mangsa yang berada di dalam lubang takungan air dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ