TAWAU: Seorang wanita mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima deposit tanpa lesen daripada orang ramai berjumlah RM5.087 juta ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Tertuduh, Norafizah Abbas, 30, didakwa melakukan perbuatan itu antara Mei 2023 hingga Ogos 2023.
Bagi pertuduhan pertama, Noraafizah didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 1, Pusat Komersial Gaya, Jalan Guru, pada 30 Mei 2023 hingga 20 Julai 2023.
Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan yang sama menerusi akaun bank miliknya dan Abbas Family Enterprise pada 21 Mei 2023 hingga 17 Jun 2023 di sebuah bank, di Jalan Mahkamah, di sini.
Menerusi pertuduhan ketiga pula, wanita itu didakwa menerima deposit awam tanpa lesen di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758), menerusi akaun simpanan Public Bank milik Zerina Collection Sdn Bhd pada 23 Mei 2023 hingga 14 Julai 2023.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) Akta yang sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, tertuduh yang sedang mengandung, selain mempunyai tiga anak lain yang masih kecil, meminta diikat jamin.
Hakim kemudian menetapkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin tempatan.
Tertuduh turut diarah menyerahkan passport, melapor diri kepada pegawai penyiasat setiap bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan hadir pada setiap perbicaraan serta sebutan kes.
Kes disebut semula pada 22 Ogos depan. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ