KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan berkaitan semakan semula pemberian khas kepada Sabah masih dalam rundingan.
Katanya, perkara itu belum diputuskan kerana perjanjian sebelum ini menyebut bahawa ia bergantung kepada keadaan kewangan kerajaan persekutuan.
Beliau turut mengakui banyak yang dikutip dari Sabah, antaranya cukai dalam negeri sebanyak RM600 juta pada tahun lalu, manakala RM6.6 bilion duti kastam.
“Berapa yang kita dapat dari negeri Sabah? Banyak….cukai dalam negeri di Sabah untuk 2023, RM600 juta, RM6.6 bilion duti Kastam.
“Minta cara baik tak apa, minta sebagai kawan dan saya sudah beritahu Perkara 112D masih dirunding peningkatannya kerana perjanjian itu menyebut dalam keadaan kewangan yang mengizinkan.
“Kita mewarisi hutang yang banyak, bukan masa saya. Masa saya Menteri Kewangan dulu hutang semua dibayar.
“Tapi kami mewarisi dan sebahagian dalam jemaah menteri, bertanggungjawablah, Speakerkah menterikah, tak tahulah banyak jawatan.
“Jadi kita warisi, so kena bayar. Ada orang kata perlu bayarkah? Kalau tak bayar orang tak yakin, orang tak melabur di negara kita. Kita janji dan kita kena bayar,” katanya.
Beliau yang juga Presiden PKR berkata demikian pada Himpunan Perdana Rakyat anjuran PKR Sabah di SICC, di sini, hari ini.
Sementara itu, Anwar menegur segelintir pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan yang mempertikai apabila beliau mengumumkan peruntukan mencecah RM16 bilion untuk Sabah pada sambutan Kaamatan, Mei lalu.
“Bila saya umum dalam Pesta Kaamatan belanja satu tahun mencecah RM16 bilion, ada wakil rakyat, Ahli Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan yang mempertikai.
“Kamu jadi MP tahu baca buku akaun, kalau tak baca kamu tak layak jadi MP. Saya dah beritahu, hari ni saya nak berucap nak jawab sikit.
“Hari ini dengar Presiden Keadilan berucap. Saya nak Keadilan bangkit di Sabah, bangkit memperjuangkan rakyat Sabah, bukan mempertahan pemimpin lapuk di negeri Sabah.
“Apa ingat saya Perdana Menteri, Menteri Kewangan boleh tipu angka. Saya jawab dalam ucapan itu, saya kata pada tahun 2024, kita tambah seluruh peruntukan itu RM16 bilion, jadi mereka kata tidak cuma RM6 bilion sahaja,” katanya.
Anwar menjelaskan RM6.6 bilion itu adalah peruntukan pembangunan untuk keseluruhan negeri.
“Siapa nak bayar bangunan sekolah, siapa nak bayar guru, siapa nak jaga sempadan, siapa nak perbaiki jalan, Pan Borneo itu tidak termasuk dalam RM6.6 bilion.
“Saya tak peduli sangat kalau pembangkang, tapi kalau kawan-kawan mahu jadi kawan, mesti perangai macam kawan, mesti ada adab sebagai kawan.
“Mesti tahu negara ini punyai tanggungjawab dan yang penting bukan kamu sebagai wakil rakyat, yang penting itu rakyat yang nak hidup dan merdeka,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ