Dua lelaki ditahan,polis rampas serbuk dan cecair ketum bernilai RM37,220

RANAU: Polis menahan dua lelaki dan merampas 369 kilogram serbuk ketum menerusi serbuan di dua lokasi di daerah ini, pada 10 dan 11 Ogos lalu.

Dalam serbuan itu juga, polis turut merampas 20 botol cecair hijau warna gelap disyaki air ketum membabitkan nilai keseluruhan termasuk serbuk ketum sebanyak RM37,220.

Serbuan berkenaan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mursalin Mahmud berkata, bertindak atas aduan orang awam, serbuan pertama pada 10 Ogos lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bongkud, Jalan Narawang, di sini.

Katanya, hasil serbuan itu menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang berada di hadapan rumah kerana disyaki terbabit dengan aktiviti penjualan cecair dan serbuk ketum.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu polistrin yang digunakan untuk menyimpan 16 botol cecair hijau warna gelap disyaki air ketum.

“Seterusnya bersebelahan rumah suspek, turut menemukan tiga guni warna putih dan satu bungkusan plastik warna hitam berisi bungkusan serbuk ketum yang berjumlah 369 bungkus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati cecair ketum dijual pada harga RM16 sebotol manakala serbuk daun ketum RM100 sebungkus.

Mursalin berkata, serbuan kedua dibuat pada 11 Ogos di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kaparingan dan menahan seorang lelaki tempatan serta merampas satu bekas polistrin berisi beberapa botol berisi air warna hijau gelap disyaki air ketum.

“Kedua-dua suspek ditahan selepas dipercayai terbabit dengan aktiviti penjualan cecair dan serbuk ketum.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – Info X