SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 400 karton rokok kretek bernilai RM129,500 di perairan Semporna, di sini, awal pagi tadi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Mohamad Ismail berkata, pihaknya mengesan pergerakkan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan kira-kira jam 1.30 pagi.
Katanya, anggota PPM bertindak menghampiri bot berkenaan untuk pemeriksaan dokumentasi dan barang yang mereka dibawa.
“Namun sebaik sahaja dihampiri, bot terbabit bertindak memecut laju melarikan diri daripada pemeriksaan anggota PPM.
“Selepas kira-kira 10 minit dikejar, juragan dan anak perahu bot terbabit bertindak nekad terjun ke laut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan suspek menemukan 400 karton rokok kretek disyaki diseludup masuk dari negara jiran.
“Usaha mengesan dan mencari suspek terbabit telah dilakukan, namun tidak berjaya disebabkan keadaan cuaca yang gelap.
“Semua rampasan rokok yang dianggarkan bernilai RM129,500 itu dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta kastam 1967,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ