PRN17: SAPP komited bersama GRS walau masih ahli PN

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) kekal komited bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan bertanding atas tiket gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Presidennya, Datuk Yong Teck Lee, berkata SAPP tidak akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) walaupun parti itu masih ahli dalam gabungan berkenaan.

Malah, katanya beliau meminta PN tidak bertanding pada pilihan raya itu atas dasar parti dari Semenanjung tidak sepatutnya bertanding pada PRN Sabah.

“Kita masih ‘member’ PN dan saya sudah cakap supaya PN tidak bertanding di Sabah pada pilihan raya negeri. Mereka memang marah, Ronald Kiandee dan lain-lain, tapi itulah pendirian SAPP.

“Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 lagi kita sudah umum bahawa SAPP akan bertanding guna lambang GRS, bukan PN.

“Kali inipun kita sudah maklumkan akan bertanding di bawah GRS, menggunakan lambang GRS,” katanya ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan SAPP 2024 di sini, hari ini.

Teck Lee yang juga ADUN Dilantik berkata demikian ketika diminta mengulas dengan siapa SAPP bekerjasama pada PRN17 nanti berikutan kedudukannya sebagai parti komponen GRS yang pada masa sama masih bersama PN di blok pembangkang.

Mengulas lanjut mengenai parti dari Semenanjung yang tidak sepatutnya bertanding pada pilihan raya negeri, bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata perkara itu sejajar dengan pendirian SAPP yang sudah lama disuarakan.

Bagaimanapun, katanya, ia hanya pendirian parti, namun undang-undang tidak melarang mana-mana parti untuk bertanding atas kemahuan mereka.

Jelasnya, rakyat yang akan memutuskan siapa yang mereka pilih pada PRN nanti.

Mengenai soal kerusi, Teck Lee berkata belum ada keputusan dibuat berhubung perkara itu, namun mengakui SAPP sudah mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi ditandinginya. – Info X