Pekerja feri dikhuatiri lemas selepas jatuh sungai

KINABATANGAN: Seorang pekerja feri mengangkut hilang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di kawasan sebuah estate di sini, pagi tadi.

Mangsa Antonius Permisi, 40, dikatakan terjatuh dari feri berkenaan ketika menyeberangi sungai, pada jam 9.55 pagi.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, sebaik menerima panggilan jam 1.22 tengah hari itu, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Jasmani Osni digerakkan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Menurut pengadu, mangsa dipercayai terjatuh dari feri mengangkut barang ketika menyeberangi sungai.

“Pasukan bomba dalam perjalanan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 160 kilometer dari balai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X