LAHAD DATU: Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya merempuh sebuah Bas Express Senex, di Kampung Balacon, Jalan Sandakan-Lahad Datu, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.25 malam.
Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama dua buah jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta telah merempuh sebuah Bas Express Senex di lokasi kejadian.
“Pemandu kereta berusia 42 tahun mengalami kecederaan, manakala 15 orang di dalam bas berkenaan pula dilaporkan selamat,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum diserahkan kepada pihak Ambulan untuk dihantar ke hospital.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kemalangan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.32 malam,” katanya. – Info X

More Stories
Kids Art & Craft Camp UMS Lonjak Potensi Kreatif Generasi Muda
Matriculation English Immersion Programme (MEIP) Perkukuh Penguasaan Bahasa Inggeris Pelajar Kolej Matrikulasi Labuan
UMS Pacu Aspirasi Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya Melalui Ekosistem Inovasi Berimpak