PENDUDUK DIINGATKAN BERGANDING BAHU MENJAGA KEBERSIHAN KAWASAN PERSEKITARAN PPR

Zakaria (lima kiri) bersama para hadirin dan penduduk PPR Taman Gum Gum Jaya semasa menghadiri program

Oleh Kahar Ali

SANDAKAN: Penduduk yang mendiami kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) khususnya di PPR Gum-Gum diingatkan tidak bergantung sepenuhnya kepada pihak kontraktor dipertanggungjawab dalam membersihkan kawasan persekitaran PPR.

Ahli Parlimen Libaran Datuk Zakaria Haji Mohd Edris berkata, sebaliknya penduduk perlu memainkan peranan bersama dalam menjaga aspek kebersihan demi memastikan persekitaran kediaman yang disediakan kerajaan itu sentiasa bersih dan terpelihara.

Beliau berkata, ketua-ketua penduduk di PPR juga perlu lebih agresif dalam melihat setiap kerosakkan kemudahan untuk dilaporkan kepada pihak berwajib agar pembaikkan dapat dilaksanakan segera.

Pada masa sama, rakyat pula perlu memastikan setiap kemudahan seperti dewan, masjid, klinik kesihatan dan taman permainan yang disediakan berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan secara bersama.

Beliau berkata semasa ditemui media pada Majlis Jalinan Tautan Kasih Aidil Fitri 2019 DUN Gum-Gim dan Parlimen Libaran, di Dewan PPR Gum-Gum Sandakan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zakaria yang juga Ketua Penaja Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Libaran berkata, ahli BERSATU di Libaran perlu menjadikan semangat kekitaan kalangan ahli sebagai wadah memperkasa parti itu di Libaran.

Ini kerana katanya, BERSATU diyakini mampu meneruskan kesinambumgan pembangunan di kawasan Libaran melalui Pakatan Harapan yang menerajui kepimpinan kerajaan masa kini.

Beliau turut berkata, BERSATU Libaran kini mempunyai kira-kira 2 ribu keahlian dan mensasarkan untuk mencapai 4,000 keahlian menjelang akhir tahun ini.

Pada majlis menyaksikan Zakaria turut menyampaikan sumbangan hamper kepada 28 warga emas dan golongan kurang berkemampuan dari PPR Gum-Gum.