KOTA KINABALU: Sistem bayaran caj letak kereta digital menggunakan aplikasi Sabah Smart Parking dilaksanakan sepenuhnya di bandar raya Kota Kinabalu, bermula hari ini (16 Oktober).
Penggunaan kaedah baharu pembayaran caj letak kereta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu menggantikan kaedah kad gores yang digunakan sejak 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, pengguna yang masih mempunyai kad gores yang belum digunakan masih boleh menggunakannya untuk membayar caj letak kereta.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir selaku menteri bertanggungjawab terhadap DBKK ketika melancarkan sistem itu, berkata pelaksanaannya selaras dengan transformasi pendigitalan perkhidmatan kerajaan.
Dalam ucapannya, Abidin berkata, transformasi daripada penggunaan Sistem Letak Kereta Berkupon kepada Sistem Letak Kereta Digital adalah satu pencapaian signifikan.
“Ia secara tidak langsung menyahut seruan atau aspirasi kerajaan Negeri yang menuju ke arah pembudayaan dan pembangunan pendigitalan dalam setiap perkhidmatan,” katanya.
Langkah itu juga, katanya memastikan DBKK dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di bandar raya ini.
“Selain daripada penambahbaikan mutu perkhidmatan dalam pengurusan tempat letak kereta, penambahbaikan bagi kemudahan-kemudahan infrastruktur yang lain juga turut diberi perhatian,” katanya.
Serentak dengan pelaksanaan sistem letak kereta digital itu, DBKK menganjurkan program pengampunan ‘Jom Bayar Kompaun’ yang menawarkan pengurangan bayaran kompaun letak kereta DBKK.
Program pengampunan itu bermula hari ini hingga 31 Oktober ini, khusus kepada pengguna yang sudah memuat turun aplikasi Sabah Smart Parking.
Menerusi program itu, mereka yang mempunyai kompaun tertunggak hanya perlu membayar kadar asal kompaun menerusi aplikasi berkenaan.
Aplikasi Sabah Smart Parking boleh dimuat turun melalui telefon pintar dan ia digunakan di semua tempat letak kereta dalam kawasan perkadaran DBKK, kecuali di Manggatal dan Telipok yang setakat ini belum dikenakan bayaran tempat letak kereta.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, berkata setakat hari ini lebih 40,000 pengguna sudah memuat naik aplikasi berkenaan. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ