PPM tahan dua lelaki,rampas 280 karton rokok di Semporna

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki dan merampas sebanyak 280 karton rokok disyaki diseludup masuk dari negara jiran dalam kejadian di kawasan laut Tobo-Tobo, di sini semalam.

Semua rampasan berkenaan dilakukan menerusi Op Taring Gelora Khas yang dilakukan PPM Semprna kira-kira jam 5 pagi di perairan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Mohamad Ismail berkata, sebaik tiba di lokasi berkenaan, pihaknya mengesan dua buah bot pam dalam keadaan mencurigakan.

“Sebuah daripada bot terbabit berjaya ditahan untuk pemeriksaan dan terdapat dua lelaki dipercayai juragan dan anak perahu di bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut, menemukan 160 karton rokok kretek di dalam beg plastik berwarna biru dipercayai tidak bercukai dan diseludup masuk dari negara jiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, katanya, sebuah lagi bot bertindak memecut laju dan berlaku adegan mengejar dalam masa kira-kira lima minit.

“Juragan bot terbabit bertindak nekad terjun dari bot dan berjaya melarikan diri ke kawasan bakau Tobo-Tobo, di sini.

“Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan suspek menemukan 120 karton rokok kretek pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam beg plastik biru,” katanya.

Mohamad berkata, suspek berusia 28 dan 26 tahun terbabit dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk rokok kretek dan dua buah bot pam dianggarkan bernilai RM95,200,” katanya. – Info X