KOTA KINABALU: Sebahagian besar atau 85 peratus rakyat tidak terkesan dengan cadangan penyasaran subsidi petrol RON95 yang dijangka dilaksanakan pada pertengahan 2025.
Jaminan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas mengenai cadangan itu seperti dibentangkan beliau dalam Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.
Berucap pada Program Madani Rakyat Sayangi Sabah di Kompleks Sukan Likas, di sini, semalam, beliau berkata rakyat biasa tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan cadangan itu kerana mereka kekal menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM2.05 seliter.
Katanya, penyasaran berkenaan lebih tertumpu kepada usaha untuk menghentikan 40 peratus bahan api bersubsidi itu yang ketika ini dinikmati oleh golongan T15 dan warga asing.
“Petrol (RON95) di Malaysia adalah yang paling murah, berbanding dengan Singapura, Thailand Indonesia, Filipna dan malah Arab Saudi. Di Arab Saudi harga srliter di sana ialah RM2.65, berbanding Malaysia RM2.05.
“Sekarang kita bantu dengan subsidi, berapa subsidi? Satu tahun kalau kita tak tukar RM20 bilion. Subsidi ini maknanya apa? Kerajaan bantu supaya harga tidak naik.
“Sepatutnya kepada siapa? Kepada rakyat susah, tapi sekarang ini subsidi petrol ini termasuk kepada warga asing, yang tiada kad pengenalan pun kita bantu (subsidi), orang kaya rumah banglo lima buah, untung RM10 juta tapi subsidi petrol kita bagi.

“Jadi, golongan T15 yang paling kaya, campur dengan orang asing, mereka ini menggunakan 40 peratus petrol bersubsidi bernilai RM8 bilion setahun,” katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menyifatkan 40 peratus RON95 digunakan golongan kaya dan warga asing menunjukkan kerajaan bermurah hati dengan luar biasa.
“Istilah lainnya ialah kerajaan kurang cerdik. Sebab itu kita kena fikir bagaimana untuk ubah, ubah kepada siapa?
“Tidak kepada rakyat biasa, jadi jangan bimbang 85 peratus rakyat kekal, maknanya sebahagian besar rakyat masih menikmati harga RM2.05 seliter, yang kaya bayarlah lebih sikit ikut harga pasaran,” katanya.
Beliau turut membidas pihak tertentu yang mempersoalkan penyasaran subsidi itu yang seolah menyokong agar warga asing dan golongan paling kaya terus menikmati subsidi kerajaan. – Info X

More Stories
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ
Warga UMS Jayakan ‘Jom Baca’ dan Pelancaran Kapsul Masa Digital 2035
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata