TUARAN: Keprihatinan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau turun padang meninjau sendiri keadaan jalan mendap di Tamparuli-Kiulu menyentuh hati penduduk setempat.
Lawatan tinjauan itu yang turut disiarkan secara langsung di laman facebook rasmi Presiden Kehormat UPKO itu telah meraih lebih 60,000 tontonan, 1,400 sukaan, 219 perkongsian dan 263 komen positif setakat pukul 5.00 petang pada Isnin.
Menurut Sonnia Yee, “Tanpa jalan utama ini, banyak urusan seperti penghantaran simen, pelancongan dan batu pasir terjejas. Terima kasih kerana meninjau keadaan ini. Kami berharap jalan dapat diperbaiki dengan segera.
“Datuk Madius seorang pemimpin yang sentiasa mengambil berat akan masalah rakyat kerana tidak kira siang atau malam beliau sentiasa turun padang,” ujar Nasip Kahar.
“Terima kasih Datuk, mudah-mudahan jalan ini cepat diperbaiki kerana sekarang kami terpaksa pusing jauh untuk menghantar anak-anak ke SMK Kiulu,” kata Alex Ander.
“Kelmarin di parlimen, sekarang terus turun padang! Terima kasih YB DSP Madius,” komen Abi Deffiny Dezza.
Pada siaran langsung tinjauan itu, Madius dilihat dalam perjalanan ke Program Madani Rakyat, Sayangi Sabah Peringkat Sabah di Kompleks Sukan Likas yang dirasmikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun beliau sanggup hadir lewat ke program tersebut dan turun padang meninjau keadaan jalan raya yang menjadi jalan perhubungan utama penduduk di sekitar Kiulu dan Tamparuli.
Madius dalam muat naik di laman facebooknya juga memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi pihak JKR Tuaran bagi membantu menangani masalah ini.
“Pada ketika ini, keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan.
“Saya akan terus memantau perkembangan pembaikan ini dan memastikan segala usaha dilakukan untuk memperbaiki kerosakan dengan secepat mungkin,” katanya.
Untuk rekod, Jalan Tamparuli-Kiulu sepanjang 50-meter terpaksa ditutup pada 19 Oktober 2024 akibat pemendapan jalan yang disebabkan oleh kerosakan pembetung di bawah laluan berkenaan.
Jalan alternatif yang boleh digunakan termasuk Jalan Bungoliu Logkou Timbok, Jalan Kiulu Logkou Lama, dan Jalan Kiulu Lawamandau bagi perjalanan ke Pekan Kiulu.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ