Penduduk Pulau Penampang terkilan inisiatif baiki jalan kampung dipolitikkan

KOTA KINABALU: Inisiatif penduduk Kampung Pulau Penampang, Manggatal, dekat sini membaiki sendiri jalan kampung dijadikan bahan politik apabila surat mengenai perkara itu ditularkan di media sosial, beberapa hari lalu.

Penduduk yang terkilan dengan perbuatan mempolitikkan perkara itu menafikan niat mereka melaksanakan inisiatif berkenaan disebabkan kerajaan tidak menghiraukan masalah penduduk seperti yang didakwa di media sosial.

Wakil penduduk, Spanis Gadua, 62, mengakui ada surat dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bertarikh 23 Oktober 2024 memohon sumbangan RM100 setiap keluarga untuk melaksanakan inisiatif itu.

Jelasnya, sumbangan itu bukan dipaksa selain bertujuan membeli bahan binaan seperti simen, batu dan pasir bagi menampal bahagian jalan yang rosak teruk di laluan masuk ke kampung berkenaan sepanjang kira-kira 100 meter.

“Saya selaku wakil penduduk mencadangkan supaya bahagian jalan yang rosak dibaiki secara gotong-royong, manakala bahan binaan yang diperlukan dibeli atas sumbangan penduduk kampung, kira-kira RM2,000 sudah cukup.

“Bagi tujuan itu, pihak JKKK selaku pentadbir kampung mengedarkan surat untuk memaklumkan perkara berkenaan tetapi ada pula yang menularkan surat itu di media sosial dengan menjadikannya sebagai bahan untuk menghentam kerajaan, wakil rakyat dan pihak berkuasa, seolah-olah mereka tidak membantu penduduk.

“Perkara itu tidak betul kerana niat surat itu ialah untuk mendapatkan sumbangan bagi membaiki bahagian jalan rosak yang penduduk boleh lakukan sendiri secara gotong-royong, ia bukan kerana terpaksa,” katanya ditemui di Kampung Pulau Penampang, di sini.

Sebelum ini, sebuah portal menularkan surat berkaitan perkara itu dengan menjadikannya sebagai contoh rakyat terpaksa menggunakan dana sendiri bagi membaiki jalan rosak.

Portal itu turut mengaitkan masalah jalan rosak dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sudah empat tahun memerintah negeri ini.

Spanis berkata, kerosakan itu perlu dibaiki kerana sudah beberapa kali berlaku insiden tayar pecah termasuk dialaminya sendiri, selain kereta peronda polis pecah tangki minyak akibat hentakan kuat ketika melakukan rondaan di kampung itu.

Setakat ini, katanya sebanyak RM1,200 sumbangan penduduk sudah dikumpulkan untuk membeli bahan binaan, selain sumbangan dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Parlimen Sepanggar.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Pulau Penampang, Mailin @ Randy Akiu, berkata kampung berkenaan yang diwartakan sejak akhir 1990-an tidak pernah ketinggalan menerima kemudahan asas disediakan kerajaan, termasuk jalan kampung.

“Jalan kampung ini sudah diaspal melalui projek pembangunan kerajaan tetapi lama-kelamaan, ada bahagian yang rosak dan runtuh ketika musim hujan, jadi ia perlu dibaiki untuk keselesaan penduduk.

“Bagi kerosakan yang besar seperti tanah runtuh, kita menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan untuk melaksanakan projek pembaikan dan ia sudah dilaksanakan beberapa tahun lalu.

“Namun, kerosakan kecil seperti jalan berlubang lebih mudah dan cepat jika penduduk sendiri yang melakukannya sementara menunggu pembaikan keseluruhan jalan kampung oleh kerajaan dan inilah yang kita laksanakan di kampung ini tetapi niat baik itu disalah tafsir,” katanya.

Bagi Ketua Kampung Pulau Penampang, Yuspensus Philipus, 42, beliau menyifatkan inisiatif itu sesuatu yang baik dan dipersetujui majoriti penduduk kampung, selain sudah banyak kali dilaksanakan.

“Ini bukan pertama kali, sebaliknya aktiviti gotong-royong memang selalu dilaksanakan, bukan saja membaiki jalan rosak, malah membersihkan parit dan sekitar kampung.

“Ia juga satu aktiviti sihat yang dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung. Jadi, apabila inisiatif ini diviral dan dipolitikkan, ia sesuatu yang tidak wajar,” katanya.

Kampung Pulau Penampang yang majoritinya dihuni masyarakat Kadanzandusun terletak bersebelahan pusat beli belah 1 Borneo di Jalan Sulaman. – Info X