Seorang lagi penjenayah dikehendaki ditembak mati

KOTA KINABALU: Seorang lagi penjenayah yang dikehendaki mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan polis di sebuah bangunan di Jalan Undan berhampiran Terminal Bas Inanam, di sini, awal pagi ini.

Suspek berusia 59 tahun itu juga dipercayai rakan tiga penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian di Beverly Hill, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim berkata, bertindak atas maklumat, jam 2.30 pagi sepasukan pegawai dan anggota JSJ D9 (Siasatan Khas) menyerbu sebuah bilik di bangunan berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek melepaskan tembakan menyebabkan pasukan serbuan bertindak melepaskan tembakan balas bagi melindungi keselamatan serta nyawa anggota polis.

“Dalam kejadian itu, suspek disahkan mati di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui, di lokasi kejadian, pagi ini.

Menurutnya, suspek yang dikehendaki ini berasal dari Sarawak dan dipercayai rakan kepada tiga penjenayah yang ditembak mati semalam.

“Kita percaya suspek ini adalah rakan kepada tiga penjenayah yang ditembak mati kerana terbabit dalam beberapa kes jenayah termasuk kes bunuh di Sarawak.

“Dengan tumpasnya keempat-empat suspek ini, kita berjaya menumpaskan kesemua penjenayah yang dikehendaki ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, polis masih menjalankan siasatan lebih lanjut.

Semalam, pasukan polis dari D9 JSJ Kontinjen Sabah menembak mati tiga penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di lokasi persembunyian mereka di Beverly Hill.

Dalam kejadian jam 9.13 malam itu, ketiga-tiga penjenayah berasal dari Sarawak berusia lingkungan 40 hingga 50-an mati di lokasi kejadian. – Info X