TAWAU: Sepasang suami isteri warga emas berdepan detik cemas apabila kereta jenis Proton Saga yang dinaiki mereka terbabas lalu terhumban ke dalam longkang di Jalan Chong Thien Vun, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, mangsa yang masing-masing berusia 79 dan 78 tahun itu, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba dengan selamat sebelum dihantar ke Hospital Tawau untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 8.47 pagi dan sepasukan enam anggota bergerak ke lokasi bersama dua jentera untuk menjalankan operasi.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipercayai terbabas sendiri lalu termasuk ke dalam longkang, manakala kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan pihak bomba,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jemishin berkata, pihaknya menamatkan operasi pada jam 9.07 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ