KOTA KINABALU: Tun Juhar Mahiruddin mengakui perjalanan panjang dan pelbagai pengalaman sepanjang 14 tahun perkhidmatan beliau sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Ke-10 ada kalanya penuh ranjau.
Beliau berkata, ia sudah menjadi lumrah yang lazim ditempuhi dalam pemerintahan, namun katanya, apa yang pasti rakyat tidak boleh dipinggirkan dalam setiap keputusan dan tindakan yang diambil.
“Setiap hari, rakyat perlu diberi perhatian kerana mereka adalah asas dan tunjang kepada segala pembangunan dan kejayaan yang dicapai. Setiap keputusan yang diambil, setiap dasar yang digubal, haruslah memberi fokus kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Tanpa sokongan dan kepercayaan rakyat, tiada kejayaan yang dapat diraih dalam pemerintahan,” katanya dalam ucapannya sempena majlis makan malam penghargaan kerajaan negeri di SICC, malam tadi.
Tun Juhar yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai TYT Ke-10 bermula esok, berkata sebagai seorang yang menggalas amanah untuk memimpin negeri, beliau sentiasa berusaha untuk menjalankan tanggungjawab dengan penuh jujur, adil dan bertanggungjawab.
“Saya sedar bahawa banyak cabaran dan tanggungjawab yang tidak dapat saya hadapi dan pikul tanpa kerjasama dan komitmen yang berterusan daripada semua pihak.
“Dalam perjalanan ini, kita telah mengecapi banyak kejayaan yang adalah hasil daripada kerjasama dan semangat perpaduan antara semua pihak.
“Setiap usaha yang dilakukan, walaupun kecil mempunyai impak besar dalam memastikan negeri kita terus maju dan berkembang,” katanya.
Sehubungan itu, katanya beliau merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang terlibat, bukan setakat menganjurkan majlis pada malam tadi tetapi juga kepada semua yang selama ini menjadi tulang belakang dalam menjayakan semua agenda pembangunan negeri.
“Dengan penuh rasa terima kasih, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah bersama barisan Ahli Jemaah Menteri Negeri Sabah dalam membawa kemakmuran berterusan kepada negeri ini.
“Kerjasama yang baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan juga harus dipuji kerana telah menunjukkan komitem yang luar biasa dalam merangka dan melaksanakan pelbagai projek dan inisiatif yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pemimpin-pemimpin masyarakat yang telah memberikan sumbangan yang amat besar dalam memastikan kemajuan dan kesejahteraan komuniti serta negeri kita.
“Pemimpin-pemimpin masyarakat merupakan penggerak utama dalam memastikan suara rakyat didengar dan keperluan mereka dipenuhi.
“Setinggi-tingginya penghargaan dan terima kasih juga saya ucapkan kepada individu, organisasi atau pihak yang berkepentingan dalam membuat keputusan, dasar atau aktiviti yang dijalankan oleh kerajaan. Ini termasuklah badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang telah banyak memberikan sokongan dan sumbangan yang amat bermakna dalam usaha pembangunan negeri ini,” katanya.
Tun Juhar juga tidak lupa kepada pejawat awam sebagai pelaksana dasar kepada pentadbiran kerajaan sama ada penjawat awam Persekutuan atau Negeri, termasuk pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan agensi penguatkuasa yang lain bersama Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kerana telah menunjukkan dedikasi, komitmen dan keikhlasan dalam menjalankan tugas mereka. Semoga kita sentiasa berada di dalam rahmat dan lindungan Allah subhanahu wata’ala jua.
“Penghargaan dan ucapan terima kasih khusus kepada mereka yang setiap hari hidup dekat dengan perjalanan dan aktiviti keseharian saya, iaitu semua kakitangan dan urus setia Istana Seri Kinabalu sendiri. Merekalah teman bahkan umpama keluarga besar di hati saya.
“Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Saya merasa terharu dengan sokongan dan kerjasama daripada rakyat Sabah. Kejayaan dan kemajuan negeri ini bergantung pada semangat perpaduan dan sokongan yang berterusan daripada semua pihak.
“Saya percaya dengan kerjasama yang tidak putus-putus, negeri Sabah akan terus berkembang dan mencapai kegemilangan yang lebih besar.
“Seiring dengan berakhirnya tempoh pemerintahan saya, saya sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh rakyat negeri Sabah yang dikasihi di atas sokongan, kerjasama dan komitmen yang telah diberikan dalam membangunkan negeri ini,” katanya ketika menutup ucapannya.
Dalam ucapannya, Tun Juhar turut mengucapkan setinggi tahniah kepada Tun Musa Aman atas pelantikan sebagai TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu yang akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Seri Kinabalu, di sini, esok. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad