Peter (barisan belakang, lima dari kanan) bersama pemimpin setempat, guru-guru dan murid-murid KAFA Jami’ur Rahman semasa program Hari Raya Aidil Fitri
SANDAKAN: Seorang pemimpin seharusnya menerajui sesuatu perubahan positif untuk mencapai matlamat bersama.
Tanggungjawab ini bukan mudah kerana banyak cabaran dan ujian yang akan kita dihadapi, kata Ketua UPKO Bahagian Libaran Dr Peter Jr. Naintin semasa berucap di Majlis Hari Raya Aidil Fitri Bersama Warga Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Jami’ur Rahman, Kampung Jaya Bakti di sini baru-baru ini.
“Pada asasnya, setiap manusia adalah merupakan seorang pemimpin. Pemimpin yang berjaya adalah seseorang yang mengetuai dirinya sendiri, keluarga, organisasi atau persatuan,” kata Peter yang juga Ahli Majlis Tertinggi UPKO.
Menurut Peter, rakyat Malaysia khususnya di Sabah telah membuktikan bahawa dasar hidup pelbagai agama, keturunan dan budaya dapat membentuk masyarakat yang harmoni.
“Kita semua bergabung menjadi sebuah masyarakat, bekerjasama dan saling tolong menolong untuk mencipta Kesejahteraan Masyarakat,” katanya lagi.
Marilah kita sama-sama mengambil peluang ini untuk mengeratkan silaturrahim sesama kita. Saya berharap agar Sekolah KAFA dapat melahirkan pelajar yang berakhlak mulia, berkualiti dan progresif, kata beliau lagi.
Sementara itu, pelbagai aktiviti telah diadakan sempena program tersebut seperti merekabentuk Kad Hari Raya, Sampul Kad Hari Raya, Kad Hari Ibu, Nyanyian Lagu Raya, Menganyam Ketupat, Busana Raya paling glamour bagi kategori Ibu Bapa dan kanak-kanak (lelaki dan perempuan).
Antara yang hadir semasa program ialah Pengerusi KAFA Jami’ur Rahman Ustaz Hashim bin Ahmad
dan Penyelia KAFA Bahagian Beluran Ustaz Fadzil bin Mohd Yatim.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ