KINABATANGAN: Empat sekeluarga berdepan detik cemas apabila terpaksa menunggu lebih dua jam sebelum diselamatkan selepas kenderaan dinaiki mereka terperangkap dalam banjir di Jalan Kampung Paris 2, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, semua mangsa berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan.
Bagaimanapun, pasukan penyelamat hanya dapat tiba di lokasi yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai bomba pada jam 2.47 pagi berikutan beberapa jalan turut dilanda banjir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 12.56 tengah malam.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa.

“Kereta jenis Toyota Hilux yang dipandu mangsa terperangkap sebelum dihanyutkan arus deras.
“Mangsa membabitkan seorang lelaki bersama isteri dan dua kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi seterus membantu mengeluarkan semua mangsa dari kenderaan berkenaan.
“Semua mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.15 pagi tadi,” katanya. – Info x

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ