SANDAKAN, 1 Februari 2025 — Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Libaran mengadakan mesyuarat pertama bagi 2025 hari ini, menandakan permulaan rasmi agenda dan perancangan parti untuk menghadapi cabaran politik semasa.
Menurut Ketua Bahagian UPKO Libaran, Dr. Peter Jr. Naintin, mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada beberapa perkara penting, terutamanya persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung tahun ini.
“Antara agenda utama yang dibincangkan ialah pemantapan jentera pilihan raya UPKO Libaran bagi memastikan kesiapsiagaan parti menghadapi PRN dengan strategi yang lebih berkesan dan teratur.
“Pendekatan strategik ini melibatkan penilaian semula kekuatan akar umbi serta peningkatan kecekapan komunikasi parti di semua peringkat,” ujarnya.
Selain itu, beliau menegaskan sokongan penuh UPKO Libaran terhadap Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baru.
“Kami bersatu hati dalam memberikan sokongan sepenuhnya kepada Datuk Ewon Benedick.
“Kami percaya dengan karakter kepimpinan dan kemampuan beliau dalam menerajui Pakatan Harapan Sabah ke tahap yang lebih baik dan berketerampilan,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap hala tuju Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang komited memperjuangkan kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang.
Sebagai langkah memperkukuhkan kedudukan parti di peringkat nasional, delegasi UPKO Libaran akan menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 4 Februari di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, yang akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ