Lelaki mengamuk angkara dadah

TAWAU: Seorang lelaki warga asing yang mengamuk kerana dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ditahan di Batu 3, Jalan Apas, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, suspek berusia 23 tahun itu bertindak agresif dan mengancam keselamatan ahli keluarganya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada abang ipar suspek.

Katanya, suspek bertindak mengamuk tanpa sebab dengan memecahkan peralatan di dalam rumah sehingga berlaku pergelutan antara suspek dengan abang iparnya dalam usaha untuk menenangkan suspek.

“Sebaik menerima maklumat dari pusat kawalan daerah, sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda (MVP) segera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, pasukan polis menahan suspek tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Polis sedang menyiasat punca kejadian itu dan tidak menolak kemungkinan suspek berada di bawah pengaruh bahan terlarang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan menyebabkan kerosakan harta benda dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X