Wanita dipatuk ular ketika reda banjir

KENINGAU: Seorang wanita cedera dipatuk ular ketika meredah banjir keluar dari rumahnya di Kampung Kauran, di sini, untuk berpindah ke kawasan selamat, malam tadi.

Berdasarkan kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (JPBN), mangsa kini sedang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Keningau.

“Hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir termasuk Kampung Kauran dan 10 kawasan lain sekitar Pekan Keningau.

“Salah seorang penduduk dari kampung terbabit cedera dipatuk ular di bahagian tangan sebelah kiri semasa meredah banjir untuk keluar ke tempat lebih selamat,” katanya.

Beliau berkata, bertindak dengan kejadian, sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Mangsa segera dihantar ke Hospital Keningau pada jam 10.38 malam bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 11 lokasi terjejas banjir sekitar sini termasuk Kampung Kauran, Kauran Greg, Patikang Ulu, Banjar, Bariawa Laut, Lingkudau Ulu, Lingkidau Ring, Tan Kok Lok, Taman Anggerik, Tamu Ground Keningau dan Jalan Pekan Keningau.

Katanya, operasi menyelamat mangsa banjir berjalan sekitar lima jam bermula pada jam 8 malam Rabu sehingga jam 1 pagi tadi yang dilaksanakan dua pegawai dan 15 anggota APM Keningau.

“Pusat Kawalan Operasi Daerah APM Keningau menerima sebanyak 26 panggilan daripada orang ramai berkaitan kes banjir yang melibat banyak kawasan di Keningau.

“Setakat ini pihak APM berjaya mengeluarkan sembilan keluarga dari Kampung Kauran Greg yang terperangkap dan seterusnya menghantar ke PPS Dewan Koningau menggunakan lori APM.

“Dalam operasi sama, pihak APM juga membantu mengeluarkan barang-barang penting mangsa daripada kenderaan selepas pemandu tersalah jalan sebelum kenderaan pacuan empat roda dinaiki masuk ke parit,” katanya. – Info X