TENOM: Seorang pegawai bomba bantuan (PBB) cedera terkena renjatan elektrik ketika melakukan operasi pemadaman sebuah rumah di Kampung Sri Menanti 3, Jalan Mandalom, di sini, malam tadi.
Mangsa Shah Daniel Moktar yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), dikejarkan ke Hospital Tenom untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua BBP Tenom, Penolong Penguasa Bomba, Mudi Pangiran berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 11.14 malam.
Katanya, sepasukan 11 anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Shahril Sulaiman tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Setiba di lokasi didapati sebuah rumah jenis kekal terbakar sepenuhnya. Sebuah kereta dan empat motosikal turut terbakar sepenuhnya.

“Terdapat seorang anggota PBB terkena renjatan elektrik telah dihantar ke hospital menggunakan kenderaan Utiliti Vigo untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Anggota PBB masih menerima rawatan dan dilaporkan stabil manakala pemilik rumah lelaki dewasa turut cedera di bahagian kaki akibat terkena paku dan diberi rawatan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan dua aliran empat pancutan dengan sumber air daripada jentera.
“Operasi terkawal pada jam 12.15 tengah malam dan seterusnya pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tidak ada bahaya lain dan operasi ditamatkan jam 1.04 pagi.
“Punca kejadian dan kerugian kebakaran itu masih dalam siasatan,” katanya. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad