KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) komited merealisasikan pelbagai agenda dan misi penting termasuk meningkatkan kecekapan pengoperasian dan penambahbaikan
‘response time’ berikutan kekangan jarak dan topografi adalah antara cabaran yang cuba diatasi di negeri ini.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, sepanjang tahun lalu JBPM Sabah merekodkan panggilan kecemasan sejumlah 9087 panggilan merangkumi 3648 panggilan kebakaran, 5167 panggilan penyelamatan dan 253 panggilan tugas-tugas khas.
“Dalam mendepani hal ini, dua inisiatif penting perlu diberikan perhatian khusus iaitu pertama, penambahan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu dan pemerkasaan Bomba Komuniti dan Pasukan Bomba Sukarela.
“Dalam aspek pembangunan infrastruktur, sebanyak tiga buah BBP baharu siap dibina dan beroperasi iaitu BBP Nabawan, Putatan dan Pitas, dalam Rolling Plan ke-5 (RP 5), satu projek fizikal baharu bagi BBP Sepanggar dan beberapa projek sambungan bagi BBP Merotai dan Telupid giat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024, Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.
Menurutnya, komitmen JBPM Sabah dalam pemerkasaan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT), Bomba Komuniti dan Bomba Sukarela juga adalah strategi terbaik untuk memastikan tindakan lebih awal dapat diambil dalam menangani insiden kecemasan sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Beberapa aktiviti berbentuk pemantapan latihan kecekapan bersama Bomba Komuniti, gotong royong, derma darah, pameran kerjaya serta Kempen Keselamatan Kebakaran berjaya dilaksanakan bagi mendekatkan hubungan di antara jabatan dengan masyarakat setempat.
“Ini adalah antara kesungguhan JBPM Sabah di dalam menjalinkan hubungan rapat bersama masyarakat disamping memberi kesedaran, pengetahuan dan kemahiran kepada seluruh masyarakat.
“Usaha ini disusuli dengan penganjuran program Latihan Pemantapan Kecekapan Emergency Response Team iaitu sebuah program berskala besar berkonsepkan Pemantapan Organisasi Keselamatan Kebakaran di hadiri sejumlah 115 pasukan (1150 orang peserta) yang turut bertanding dari seluruh Sabah dan diadakan di Stadium Likas tahun lalu,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ