KOTA KINABALU: Banjir kilat yang sering berlaku di sekitar Lido, di sini dijangka dapat diatasi setelah siap Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Persekitaran Lido pada Jun 2026.
Projek bernilai RM800 juta itu sepatutnya siap pada Mac depan, namun syarikat kontraktornya mendapat lanjutan masa selama 15 bulan lagi.
Perkara itu dijelaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika meninjau perkembangan projek berkenaan, di Kepayan dekat sini, pada Isnin.
Katanya, beberapa pakej kerja RTB sudah dilaksanakan, namun masih ada beberapa pakej belum selesai dan perlu dibuat supaya masalah banjir di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan dapat diselesaikan.
“Kita memerlukan kira-kira RM800 juta peruntukan tambahan yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) untuk dilaksanakan,” katanya.
Ketika ini, Lido dan sekitarnya sering dilanda banjir kilat dengan sebanyak empat kali kejadian dilaporkan pada tahun lalu.
RTB Persekitaran Lido yang merangkumi pembinaan kolam takungan dan pembinaan pam serta sistem untuk menghalang kemasukan air pasang adalah sebahagian daripada program Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog yang membabitkan daerah Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu.
Projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu dijadual siap pada Mac depan tetapi syarikat kontraktor yang melaksanakannya mendapat tambahan masa sehingga Jun tahun depan berikutan berlaku kelewatan dalam penyiapan kerja.
Mengulas mengenai kelewatan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perkara itu bukan disebabkan masalah kontraktor atau JPS.
“Kelewatan ini bukan salah pihak JPS atau kontraktor tetapi ia membabitkan pemindahan utiliti dan pengambilalihan tanah.
“Maka kita menerima alasan itu namun pihak JPS sentiasa memantau agar banjir yang berlaku empat kali setahun di kawasan ini dapat diatasi,” katanya.

RTB Lido adalah antara 14 projek RTB yang dilaksanakan di Sabah, dengan dua projek sudah siap dan dalam tempoh liabiliti kecacatan, manakal 10 projek sedang dalam
pembinaan dan dua lagi dalam fasa pra pelaksanaan.
Sistem saliran itu yang merangkumi pembinaan kolam takungan dan pam serta sistem untuk menghalang kemasukan air pasang adalah sebahagian daripada program Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog yang membabitkan daerah Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ