PUTRAJAYA — Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak permohonan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, yang kini perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan, dan Datuk Azmi Ariffin.
Peter diperintahkan menjalani hukuman penjara serta-merta selepas pelaksanaannya sebelum ini digantung sementara menunggu keputusan rayuan.
Beliau sebelum ini mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman berkaitan pemalsuan dokumen kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Untuk rekod Keputusan rayuan ini mengalami tiga kali penangguhan, iaitu pada 27 November 2024, kemudian ditunda ke 9 Januari, sebelum akhirnya dijadualkan semula pada 7 Februari.
Mahkamah Tinggi pada 18 April 2023 mengekalkan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 26 Mei 2022.
Keputusan ini juga mengesahkan bahawa Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ