121 Pati warga Indonesia dihantar pulang

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang 121 pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara asal menerusi Operasi Pemindahan Tahanan Asing, hari ini.

Semua Pati warga Indonesia berusia lapan bulan hingga 67 tahun adalah tahanan dari Depot Imigresen Tawau.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua tahanan Pati dipindahkan ke destinasi asal iaitu Pulau Nunukan, Indonesia menggunakan feri Francis Express.

Katanya, kanak-kanak yang mengikuti program pemindahan ini turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga yang sah.

“Jumlah Pati warga Indonesia yang berjaya dipindahkan ke negara asal iaitu seramai 773 orang.

“Ia dan menyumbang kepada jumlah keseluruhan tahanan Pati yang berjaya dipindahkan ke negara asal iaitu seramai 2,821 orang sehingga ke hari ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua Pati berkenaan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan serta mempunyai Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah.

Katanya, ia dikeluarkan oleh pihak Konsulat Republik Indonesia (KRI) untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan asing ke negara asal.

“JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.

“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.

“Ia termasuk individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub mengikut Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, pihak menasihatkan para majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.

Katanya, jabatan ini akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras Pati di negara ini. – Info X