Hari Bumi Tuaran Catat Malaysia Book Of Records penanaman pokok liposu terbanyak dalam satu acara

TUARAN- Daerah Tuaran mencatat sejarah apabila berjaya merekodkan dua pencapaian baharu dalam The Malaysia Book of Records sempena sambutan Hari Bumi Tuaran 2025 hari ini.

Program tahunan bertemakan pemeliharaan alam sekitar itu menyaksikan acara penanaman serentak sebanyak 8,800 anak pokok Liposu (Baccaurea lanceolata) yang dilaksanakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Sabah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana merangkap Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, inisiatif tersebut turut disokong oleh 87 buah sekolah di daerah berkenaan.

“Dengan kerjasama erat bersama pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan serta masyarakat setempat, kita menyasarkan agar lebih 29,000 pelajar menanam sekurang-kurangnya dua anak pokok setiap seorang. Ini bermakna, potensi keseluruhan penanaman mencecah lebih 61,000 pokok serentak,” katanya.

Menurut beliau, pencapaian ini bukan sahaja memecah rekod kebangsaan, malah penanaman tumbuh-tumbuhan tradisional tersebut juga mampu menahan hakisan dan mengurangkan risiko banjir

Selain aktiviti penanaman pokok, program berkenaan turut diserikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk gerai pameran alam sekitar, penyampaian hadiah bagi Pertandingan Melukis Poster serta Pertandingan Mencipta Video Alam Sekitar.

Untuk rekod, pada tahun lalu, program yang sama berjaya menanam sebanyak 21,000 anak pokok hasil kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran, pelajar dan sekolah-sekolah sekitar daerah ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii di Pusat Kokurikulum Sabah, Kem Malangang, Kiulu.