KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah membuka peluang kepada pelajar yang berkelayakan untuk memohon tajaan Dermasiswa, Biasiswa, dan Pinjaman Pengajian Tinggi bagi sesi pengajian 2025.
Inisiatif itu bertujuan memberikan sokongan kewangan kepada pelajar Sabah yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar berkata, pelaksanaan tajaan itu dapat membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada anak Sabah yang berpotensi.
“Kita memberi keutamaan kepada mereka yang berasal dari negeri ini kerana kita ingin melihat lebih ramai warga Sabah yang berjaya dalam bidang akademik dan profesional,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, antara jenis tajaan yang ditawarkan termasuk Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (BCNS) bagi pelajar cemerlang SPM 2024 dan Biasiswa Pengajian Tinggi di IPTA/IPTS dalam pelbagai bidang.
Antaranya bidang Pertanian, Seni Bina, Ukur Bahan, Keusahawanan, Pergigian dan Pengajian Islam serta biasiswa untuk pengajian di luar negara seperti Indonesia, Mesir, dan Rusia.
Di samping itu, katanya pinjaman pengajian turut disediakan untuk pelajar yang tidak memenuhi syarat Biasiswa atau Dermasiswa.
“Kita menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat untuk memanfaatkan peluang ini bagi melanjutkan pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi. Kami yakin bahawa pendidikan adalah kunci kejayaan masa depan.
“Program ini adalah manifestasi keprihatinan Kumpulan Yayasan Sabah terhadap keperluan pendidikan tinggi anak-anak Sabah. Ia bukan saja membantu meringankan beban kewangan ibu bapa, malah membuka peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian tanpa halangan,” katanya.
“Kami berharap dengan adanya inisiatif seperti ini, akan lebih ramai pelajar dari negeri Sabah dapat merealisasikan impian mereka dan seterusnya dapat menyumbang semula kepada pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata pemohon yang berminat boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) di https://ptps.sabah.gov.my.
“Tarikh tutup permohonan ialah pada 30 Jun 2025. Semua borang permohonan yang lengkap perlu dihantar ke alamat Bahagian Pembangunan Pendidikan, Kumpulan Yayasan Sabah, Aras 5, Menara Tun Mustapha, Teluk Likas, Kota Kinabalu,” katanya
Maklumat lanjut mengenai syarat permohonan dan jenis tajaan yang tersedia boleh diperolehi melalui laman web Kumpulan Yayasan Sabah di https://www.yayasansabahgroup.org.my atau menghubungi Bahagian Pembangunan Pendidikan di talian 088 421123/125/126/127/128. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ