RM1.7 bilion jualan terkumpul minyak dan gas SMJ Energy

KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy) merekodkan jualan terkumpul minyak mentah dan gas mencecah RM1.7 bilion, termasuk RM158 juta bagi tempoh Januari hingga Mei, tahun ini.

Menerusi satu kenyataan, anak syarikat kerajaan negeri itu baru selesai mengeluarkan minyak mentah dari Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang di Terminal Minyak Mentah Labuan yang dianggarkan bernilai RM92 juta.

Ia adalah kejayaan kesembilan SMJ Energy dalam pengeluaran minyak mentah dari PSC Samarang sebagai aset kukuh yang menjadi antara penyumbang penting kepada aliran hasil syarikat.

Kenyataan itu menyebut, pencapaian berkenaan menggambarkan kekukuhan pelaburan SMJ Energy di PSC Samarang dan tumpuan berterusan syarikat itu terhadap kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai.

PSC Samarang ialah aset pengeluaran yang terletak di luar pantai Sabah dengan rekod pengeluaran stabil dan kukuh.

Ia menyumbang sebagai pembekal tunggal gas di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan tiga loji janakuasa gas di sekitar Kota Kinabalu.

PSC Samarang juga adalah pembekal gas utama ke Labuan yang membekal gas untuk Loji Metanol Labuan 1 dan loji janakuasa Sabah Electricity di Labuan.

Kenyataan itu menyebut, SMJ Energy akan terus meneroka peluang mengoptimumkan operasi bagi mengukuhkan pengeluaran dan memaksimumkan pulangan. – Info X