Genap 10 tahun gempa bumi Kinabalu, pelbagai inisiatif tambah baik keselamatan dilaksanakan

KUNDASANG: Tanggal 5 Jun 2025, genaplah 10 tahun gempa bumi berkekuatan 6.0 pada skala Richter yang berpusat di Gunung Kinabalu, di sini, menggegarkan Sabah, khususnya di puncak tertinggi Asia Tenggara itu.

Sepanjang tempoh berkenaan, pelbagai inisiatif dilaksanakan dalam usaha menambah baik kemudahan pendakian yang rosak, selain langkah keselamatan dan pembentukan pasukan khas operasi mencari dan menyelamat di kawasan gunung.

Antara perkara penting yang dilaksanakan termasuk mewujudkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR), selain latihan simulasi penyelamatan yang lebih komprehensif.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS), Peter Lintar, berkata sepanjang sedekad itu juga, penilaian terhadap malim gunung, penambahbaikan protokol kecemasan dan usaha berterusan meningkatkan kesedaran awam turut dilaksanakan.

Peter menyampaikan ucapan sempena memperingati mangsa gempa bumi Gunung Kinabalu.

“Tragedi ini juga mengajar kita erti kerendahan hati di hadapan kekuasaan alam. Ia juga menyedarkan kita mengenai kepentingan ketersediaan, keselamatan pendakian dan sistem amaran awal yang efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena ulang tahun sedekad tragedi Gempa Bumi Gunung Kinabalu, di Taman Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Upacara memperingati mangsa yang terkorban dalam tragedi awal pagi pada 5 Jun 2015 itu adalah yang terakhir selepas 10 tahun insiden berkenaan berlalu.

“Upacara seumpama ini tidak akan diteruskan untuk tahun akan datang, namun ahli keluarga mangsa diberi peluang untuk terus melakukan ziarahi atau upacara tafakur di sini.

“Kepada keluarga mangsa, anda tidak pernah keseorangan. Kenangan terhadap insan tersayang kekal hidup dalam doa dan amal kita semua.

“Pada tahun ini, sempena 10 tahun peristiwa gempa yang telah berlaku pada 5 Jun 2015, acara memperingati peristiwa gempa juga diadakan di Pekan Kundasang dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk komuniti persekitaran pekan Kundasang.

“Program ini dianjur bersama oleh Kinabalu UNESCO Global Geopark, Pejabat Daerah Ranau dan Mesilau Volunteer (MeVoc),” katanya.

Peter berkata, pihaknya berharap program memperingati gempa bumi itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan komuniti dapat menerapkan kesedaran, keselamatan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang bentuk bencana termasuk gempa bumi.

Waris keluarga mangsa meletakkan bunga di tugu peringatan mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu.

Katanya, Gunung Kinabalu menjadi saksi kepada sebuah tragedi yang meragut 18 nyawa insan tersayang disebabkan gempa bumi berkenaan.

“Parutnya kekal mendalam di hati keluarga, rakan-rakan, seluruh rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Sabah dan komuniti antarabangsa yang turut terkesan.

“Kita mengenang jiwa-jiwa terkorban – pendaki, malim gunung, dan anak-anak muda yang penuh semangat. Mereka pergi terlalu awal, di tempat yang sepatutnya menjadi lambang keindahan ciptaan Tuhan.

“Kepada keluarga yang kehilangan, kami memahami bahawa kesedihan ini tidak pernah benar-benar hilang,” katanya.

Beliau berkata, selama 10 tahun mungkin dapat mengubati luka fizikal, namun kerinduan terhadap insan tersayang kekal abadi. – Info X