SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menumpaskan kegiatan penyeludupan petrol dalam serbuan di tepi Sungai Seguntur, kawasan perindustrian Jalan Datuk Tay, di sini, semalam.
Dalam serbuan jam 5.15 petang itu, pasukan operasi merampas 5,610 liter petrol dan menahan tiga lelaki yang melakukan pemindahan minyak petrol di lokasi berkenaan.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, tiga lelaki yang ditahan berusia 18 hingga 45 tahun.
“Pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 187 tong bersaiz 30 liter berisi kira-kira 5,610 liter petrol. Sebuah kereta jenis Toyota Hilux dan bot turut ditahan.
“Selain itu, turut dirampas sebuah kontena hijau yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemindahan minyak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM215,470.50.
“Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan dalang penyeludupan berkenaan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“PPM Wilayah Empat Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ