Lelaki Pakistan miliki rokok seludup bernilai lebih RM90,000 ditahan

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Pakistan ditahan selepas dipercayai membawa 23,120 batang rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM90,000 yang disyaki tidak bercukai di Kampung Bingkul, Beaufort, semalam.

Suspek berusia 38 tahun memandu kereta jenis Toyota Vios ditahan kira-kira jam 6.30 petang oleh sepasukan pegawai polis dari Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, tangkapan dan rampasan itu hasil maklumat risikan oleh Unit Risikan Marin (URM), ketika menjalankan tugas Op Taring Landai Khas Kontraban.

“Hasil pemerhatian terkesan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang mencurigakan parkir di tepi jalan dibelakang sebuah kedai runcit di Kampung Bingkul.

“Sebaik pemandu kereta keluar daripada kenderaan, pasukan operasi terus melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemui pelbagai jenis jenama rokok yang disyaki tidak bercukai disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan.

“Tangkapan dilakukan terhadap lelaki warga Pakistan dan barangan rokok serta kereta dirampas. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM93,420.

“Semua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Beaufort dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya. – Info X