LAHAD DATU: Lelaki warga asing berdepan hukuman mati selepas ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di Kampung Pisang, Jalan Bakawali, di sini, semalam.
Suspek warga Filipina berusia 30 tahun itu ditahan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dalam Ops Tapis kira-kira jam 10.30 malam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada rampasan dadah disyaki jenis ketamin dan pil ekstasi bernilai hampir RM18,000.
“Antara yang dirampas iaitu 13.12 gram ketamin bernilai RM2,624 dan 89.63 gram pil ekstasi dianggarkan bernilai RM14,900.
“Turut dirampas, wang tunai RM537 serta satu unit telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1), Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman berat termasuk hukuman mati mandatori bagi sabitan kesalahan mengedar dadah berbahaya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ