Madius rasmikan Kaamatan Kg. Gayaratau

TAMPARULI: Sambutan Pesta Kaamatan di Kampung Gayaratau, Tamparuli baru-baru ini berlangsung dengan penuh semangat dan kemeriahan menerusi program Santai Kaamatan Montok Toinsanan 2025.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau yang merasmikan program tersebut dan meluahkan rasa berbesar hati dapat bersama-sama komuniti setempat dalam meraikan perayaan berkenaan.

“Saya merasa amat berbesar hati dapat bersama komuniti di sini dan diberi penghormatan untuk merasmikan program ini. Kaamatan bukan sahaja perayaan budaya, tetapi juga simbol perpaduan serta usaha memelihara dan memperkasa warisan rakyat Sabah,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian.

Beliau turut memuji semangat kebersamaan yang ditonjolkan oleh masyarakat setempat, khususnya penglibatan aktif golongan belia, warga emas serta semua lapisan masyarakat dalam menjayakan acara tersebut.

“Saya dapat lihat semangat kebersamaan yang begitu kuat di Gayaratau. Ini jelas apabila semua berganding bahu memastikan program ini berjalan lancar dan penuh warna-warni,” tambahnya.

Pihak penganjur, pemimpin masyarakat dan penduduk kampung turut menerima penghargaan atas komitmen mereka dalam memastikan kelancaran sambutan yang turut menyemarakkan semangat kekitaan dan kecintaan terhadap budaya tempatan.