Ahli Parlimen Tuaran Jayakan Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Tamparuli

TAMPARULI – Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau hadir menjayakan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Daerah Kecil Tamparuli 1447H / 2025M yang telah diadakan di Masjid Kampung Damat, Tamparuli pada pagi Ahad.

Menurutnya, sambutan Ma’al Hijrah bukan sekadar meraikan permulaan tahun baharu dalam kalendar Hijrah, tetapi lebih penting sebagai momen untuk memperingati peristiwa agung hijrah Rasulullah SAW yang sarat dengan nilai perjuangan, pengorbanan dan hikmah.

“Hijrah mengajar kita erti perubahan dan pembaharuan. Ia menjadi pengingat agar kita terus berhijrah daripada perkara yang tidak baik kepada yang lebih baik demi kesejahteraan dan kemajuan ummah,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang telah menjayakan majlis berkenaan dengan penuh tertib dan bermakna.

“Saya berharap semangat hijrah ini terus membakar semangat dalam diri kita semua untuk membina Malaysia Madani dan Membangun Ummah Madani yang lebih progresif dan bersatu-padu,” tambah beliau lagi ketika memuat naik gambar-gambar sekitar acara.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh pemimpin masyarakat setempat, dan penduduk kampung serta para jemputan daripada pelbagai latar belakang.

Ia dirasmikan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap ADUN N.14 Tamparuli, Datuk Seri Panglima Jahid Jahim.