UPKO kukuhkan pengaruh di Papar, lancar cawangan dan terima 100 ahli baharu di Kampung Novoung

PAPAR, 25 Ogos — Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) terus memperkukuh pengaruhnya di daerah ini dengan melancarkan Cawangan UPKO Kampung Novoung serta menerima lebih 100 ahli baharu pada satu majlis yang berlangsung baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Senator Datuk Nelson Wences Angang yang menyifatkan penubuhan cawangan itu sebagai bukti keyakinan masyarakat setempat terhadap perjuangan parti.

“Penyertaan lebih 100 ahli baharu ini bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan sokongan dan kepercayaan penduduk Papar kepada prinsip serta hala tuju UPKO,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian sijil keahlian secara simbolik kepada wakil ahli baharu, diikuti jamuan mesra dan sesi bergambar bersama kepimpinan parti.

Dengan penubuhan cawangan itu, UPKO dijangka melaksanakan lebih banyak program komuniti dan menjadi platform penyampaian suara rakyat di Papar, khususnya masyarakat Kampung Novoung.