KOTA KINABALU: Ahli Dewan Negara, Datuk Nelson W Angang menegaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah asas utama kewujudan Malaysia dan sebarang pandangan yang mengetepikan perjanjian itu dilihat amat membimbangkan.
Nelson berkata, pandangan sedemikian mengabaikan sejarah pembentukan Malaysia, di mana MA63 turut merangkumi Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang merekodkan aspirasi serta kebimbangan rakyat Sabah dan Sarawak.
Katanya, semasa Malaysia ditubuhkan, jumlah penduduk Sabah dan Sarawak sememangnya jauh lebih kecil berbanding Tanah Melayu, namun aspek saiz wilayah dan potensi pembangunan turut diambil kira dalam menentukan agihan kerusi Parlimen.
“Langkah itu bertujuan memastikan hak dan keistimewaan Sabah serta Sarawak dilindungi, dengan memberikan jaminan bahawa tiada satu wilayah pun mampu meminda Perlembagaan Persekutuan secara bersendirian dengan majoriti dua pertiga.
“Semua ini menjadi asas kepada pengagihan kerusi ketika Malaysia dibentuk, malah Singapura juga menjadi sebahagian daripada formula tersebut sebelum keluar daripada Persekutuan pada 1965,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada kenyataan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar yang menyatakan peruntukan kerusi Parlimen tidak sepatutnya berpaksikan MA63, sebaliknya berasaskan prinsip keadilan.
Nelson berkata, pindaan perlembagaan selepas pemisahan Singapura menyaksikan kerusi yang diperuntukkan kepada republik itu diberikan kepada Tanah Melayu tanpa mengambil kira hasrat asal pembahagian kerusi semasa 1963.
Malah katanya, beliau turut mengingatkan seluruh institusi negara, termasuk SPR, wujud hasil daripada Perlembagaan Persekutuan yang terbentuk berasaskan MA63, sekali gus menjadikan perjanjian itu asas sah kepada fungsi badan berkenaan.
“Bagaimanakah takrifan sedemikian terpakai di kerusi Parlimen Banggi di mana terdapat 311,499 pengundi pada 2023 berbanding kerusi Parlimen Lenggong dengan hanya 36,950 pengundi atau di Pandang Rengas dengan 38,686 pengundi pada tahun yang sama.
“Saya tidak dapat melihat ini sebagai ‘kira-kira sama’ dalam mana-mana definisi. Terdapat banyak lagi kerusi parlimen yang sangat tidak seimbang dengan bilangan elektrorat pada masa ini di seluruh Malaysia.
“Jadi sebelum kita diberitahu bahawa keadilan mesti dipertimbangkan berdasarkan populasi dan bilangan pengundi di kawasan parlimen tertentu yang lebih kurang sama antara satu sama lain, anda mesti terlebih dahulu menangani ketidakseimbangan semasa yang masih wujud hari ini,” katanya.
Nelson berkata, kenyataan seperti itu menunjukkan keperluan untuk meningkatkan pemahaman dalam kalangan penjawat awam Persekutuan, khususnya mereka yang bertanggungjawab menasihati kerajaan mengenai dasar serta hala tuju negara.
“Saya berharap kenyataan itu hanyalah pandangan peribadi Wan Ahmad dan bukan pendirian rasmi SPR, terutama ketika jawatankuasa teknikal sedang meneliti tuntutan Sabah dan Sarawak agar formula 1/3 pembahagian kerusi Parlimen seperti yang termaktub dalam MA63 dihormati,” tegasnya.

More Stories
UPKO Tuaran Hormati Keputusan Fairuz Bandar, Ucapkan Selamat Maju Jaya
596 calon tanding PRN Sabah, bakal rebut 73 kerusi DUN
Program Living Lab UMS Tingkatkan Keupayaan Komuniti Tempasuk