Darell (3 dari kiri) menyampaikan bantuan tilam, cadar dan bantal untuk asrama SK Togudon, Penampang
Oleh: Nio James
PENAMPAMG: Sekolah Kebangsaan Togudon, Penampang yang terjejas hakisan tanah akibat hujan lebat dan cuaca buruk baru-baru ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking.
Beliau, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) pada Sabtu (6 Julai) telah berkunjung ke sekolah berkenaan untuk menghulurkan bantuan segera yang diperlukan pelajar dan tenaga pengajar sekolah terbabit dalam usaha menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif sebelum tindakan lanjut diambil oleh agensi yang bertanggungjawab.
Dalam lawatan berkenaan, Darell telah menyumbangkan beberapa bantuan segera seperti 45 unit tilam dan bantal bagi semua pelajar yang menginap di asrama sekolah berkenaan.
Selain itu, Darell, melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat Penampang juga menyumbangkan 45 helai cadar baharu, dan bantuan asas harian lain seperti berus dan ubat gigi.
Selain Sekolah Kebangsaan Togudon, Darell turut menghulurkan bantuan kepada pelbagai institusi masyarakat setempat.
Antaranya 50 buah kerusi plastik disumbangkan untuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Togudon, 50 buah kerusi plastik ke Gereja Holy Cross, dan 25 lagi untuk Perpustakaan Desa Togudon.
Semua bantuan mikro ini menyusuli kerja penambahbaikan infrastruktur kampung yang giat dilaksanakan sejak tahun lalu seperti pembaikan jambatan gantung Sungai Dumindai dan Sungai Kisada, Togudon.
Darell melahirkan harapan supaya agensi yang terlibat dapat mengambil langkah segera untuk mengatasi kejadian hakisan tanah daripada terus berlaku.
“Pejabat Khidmat Wakil Rakyat Penampang akan sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya, bagi memastikan status keselamatan disitu.
“Saya berharap tidak lama lagi para pelajar akan dapat segera bersekolah dalam keadaan tenang dan fokus kepada semua aktiviti yang dijalankan.
Dimajlis sama, Darell turut serta dalam sesi “Aduan MP” yang membolehkan masyarakat melaporkan terus masalah mereka kepada wakil rakyat.
Pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma juga turut dianjurkan.
Program turut dijayakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sabah (Pejabat KEMAS Daerah Penampang).

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ