SANDAKAN, 8 Julai (Bernama) — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membelanjakan sejumlah RM21 juta bagi pembesaran tapak perkhidmatan imbasan magnetik resonan (MRI), dan obstetik dan ginekologi (O&G) di Hospital Duchess of Kent (HDOK) di sini.
Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata langkah itu bagi memberi keselesaan kepada pesakit yang mendapatkan perkhidmatan di hospital tersebut.
“Kita telah memperuntukkan RM9 juta bagi pembesaran tapak MRI, manakala pengubahsuaian serta perluasan kawasan O&G melibatkan RM12 juta yang termasuk pusat penilaian pesakit,” katanya kepada pemberita selepas melawat hospital itu, hari ini.
Dr Chen juga berkata pihaknya sedang berbincang dengan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung, mengenai usaha mencari tapak sementara bagi mengatasi masalah parkir di HDOK, sehingga projek parkir bertingkat dilaksanakan dan disiapkan secara penswastaan.
Pada lawatan itu, Dr Chen turut merasmikan sebuah projek penjimatan tenaga bernilai RM3.7 juta bagi menjimatkan kos penggunaan elektrik di hospital itu.– BERNAMA

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ