Kerajaan Sabah sambut baik cadangan tubuh skuad renjer marin tangani isu bom ikan

KOTA KINABALU, 8 Julai (Bernama) — Kerajaan Sabah menyambut baik cadangan diutarakan Persatuan Penyelam Profesional Semporna supaya skuad renjer marin ditubuhkan bagi menangani isu penggunaan bom ikan dalam kalangan nelayan yang semakin berleluasa di dalam negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata cadangan itu akan dipertimbangkan selepas proses penyerahan pengurusan Pulau Sipadan daripada kerajaan Pusat kepada kerajaan Sabah selesai dilaksanakan.

Beliau berkata pengurusan Pulau Sipadan pada masa sekarang dikendalikan oleh sebuah agensi Persekutuan iaitu Majlis Keselamatan Negara, bagaimanapun, selepas diserahkan kepada kerajaan Sabah, Pulau Sipadan akan diurus oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju pengurusan Pulau Sipadan diserahkan kepada kerajaan Sabah dalam mesyuarat baru-baru ini, dan saya juga difahamkan Kabinet Persekutuan turut bersetuju mengenainya.

“Selepas pengurusan Pulau Sipadan diserahkan kepada Sabah, kita akan lihat cadangan itu (menubuhkan skuad renjer marin) dengan menempatkan penyelam-penyelam profesional supaya mereka boleh memberi panduan kepada pelancong lokasi selamat untuk menyelam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan persatuan itu supaya skuad renjer marin ditubuhkan di Semporna memandangkan daerah berkenaan menerima ramai kedatangan pelancong yang gemar menjalankan aktiviti menyelam dan snorkeling.

Semalam, Pengerusi persatuan itu Abdul Razak Ismal turut mencadangkan penyelam profesional tempatan diserap sebagai skuad renjer marin bagi membantu pihak berkuasa memantau aktiviti pengeboman ikan yang boleh menjejaskan keselamatan pelancong menjalankan aktiviti laut.

Mengulas lanjut Mohd Shafie berkata, Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah juga telah diminta menjalin kerjasama rapat dengan operator pelancongan bagi memastikan mereka mengutamakan keselamatan pelancong.

“Ini termasuk memastikan pengusaha pelancongan yang menyediakan aktiviti menyelam menghantar tenaga pengajar selam skuba profesional dan mempunyai lesen sah selain tahu lokasi selamat untuk menjalankan aktiviti berkenaan,” katanya.

Mengenai kegiatan pengeboman ikan, Mohd Shafie mahukan supaya tindakan tegas diambil termasuk mengenakan penalti berat terhadap mana-mana nelayan yang didapati menggunakan kaedah bom ikan semasa menangkap hasil laut di perairan negeri.

Pada 5 Julai lepas, dua pelancong asing dan seorang warga tempatan yang juga tenaga pengajar selam skuba maut ketika menjalankan aktiviti menyelam di Pulau Kulapuan, berhampiran perairan Semporna, akibat terkena bom ikan dibaling nelayan dalam kejadian didakwa berlaku antara pukul 4.00 petang dan 6.00 petang…– BERNAMA