Ko-Nelayan salur peruntukan  RM500,000.00…setiap tahun untuk nelayan tradisi seluruh negeri

Awang Ahmad Shah (kanan) menyerahkan bantuan enjin sangkut kepada salah seorang penerima (nelayan).

Oleh: Nio James

BEAUFORT: Kerajaan Negeri melalui Ko-Nelayan telah menyalurkan peruntukan sejumlah RM500,000.00 setiap tahun kepada komuniti nelayan tradisi di seluruh Sabah untuk membantu meningkatkan pendapatan.

Pengerusi Ko-Nelayan, Awang Ahmad Shah Datuk Sahari berkata, peruntukan itu disalurkan dalam bentuk peralatan asas menangkap ikan melalui Skim Bantuan Nelayan (SBN).

“Peruntukan akan diagihkan kepada lima wilayah iaitu Tawau, Pedalaman, Sandakan, Kudat dan Pantai Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan  kursus penyelenggaraan enjin sangkut (pegenalan) Siri 3/2019 dan majlis penyerahan enjin sangkut kepada nelayan, di Hotel GEM, Beaufort pada Khamis.

Di majlis itu, Ko-Nelayan telah menyerahkan sejumlah 13 unit enjin sangkut dengan nilai peruntukan sebanyak RM98,909.00 untuk Wilayah Pendalaman, iaitu Sipitang tiga orang penerima, Beaufort (4), Membakut (2) dan Kuala Penyu (4).

Awang Ahmad Shah (duduk tengah) bergambar bersama jawatankuasa penganjur dan peserta kursus dan penerima bantuan enjin sangkut melalui SBN.

Sementara itu, Awang Ahmad Shah berkata, objektif SBN adalah untuk menyediakan kemudahan kredit dalam bentuk peralatan perikanan asas bagi menaiktaraf sosio ekonomi nelayan khususnya kepada kumpulan nelayan tradisi di luar bandar.

Seramai 30 orang peserta terdiri 15 orang peserta Ko-Nelayan dan 15 orang nelayan umum menyertai kurus itu.

Objektif kurus itu adalah untuk memperkenalkan program sokongan kepada peserta SBN, latihan amal bagi penyelengaraan enjin sangkut yang lebih berkesan.

Memberi pengetahuan kepada nelayan tatacara penjagaan dan pengendalian enjin sangkut yang betul dan dapat memanjangkan hayat enjin.

Kursus diberikan secara percuma kepada 30 peserta di setiap wilayah. Jumlah peserta kursus adalah seramai 150 orang setahun.