PPPM Sabah anjur Bengkel Inovasi Sosial

Ketua Pesuruhjaya PPPM Cawangan Sabah, Shirley Wong (duduk tengah barisan kedua dari depan) bergambar bersama para peserta Bengkel Inovasi Sosial.

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) dengan kerjasama Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah telah menganjurkan Bengkel Inovasi Sosial telah pada 19 hingga 22 Julai 2019.

Bengkel ini yang diadakan di Dewan PRIDE, Wisma Pandu Puteri Kota Kinabalu, dikendalikan dua orang jurulatih daripada PPPM Pulau Pinang iaitu Joyce Ong  dan Hindon Ahmad serta Jawatankuasa Majlis Jurulatih PPPM Cawangan Sabah.

Majlis penutupan bengkel ini telah dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya Cawangan PPPM Cawangan Sabah, Shirley Wong.

Seramai 80 orang peserta telah hadir termasuk jawatankuasa pelaksana, terdiri ahli-ahli Pandu Puteri dan Pemimpin daripada daerah  Kota Kinabalu, Tuaran, Tawau, Kota Belud, Kudat, Papar, Sandakan, kumpulan Sokongan Trefoil Guild, MRSM dan sebagainya.

Program  Inovasi Sosial  telah dibangunkan oleh satu jawatankuasa bersama Pandu Puteri Denmark.

Inovasi sosial adalah mengenai mengimplementasikan pelbagai tindakan  ke atas idea-idea kerjasama dengan masyarakat  untuk membangunkan dan melaksanakan idea-idea projek yang menambah nilai kepada masyarakat.

Sehubungan itu, PPPM memutuskan untuk menganjurkan latihan inovasi sosial untuk semua ahli Pandu Puteri di Malaysia mengikut zon terutamanya kepada bakal-bakal calon ahli-ahli Pandu Puteri Raja.

Untuk dianugerahkan lencana Pandu Puteri Raja, calon-calon ini perlu melengkapkan perkhidmatan komuniti mereka selama tiga bulan.

Oleh itu, salah satu objektif program ini adalah untuk membimbing calon-calon ini untuk melengkapkan perkhidmatan komuniti mereka dalam tempoh masa tiga bulan.

Adalah diharapkan agar peserta-peserta bengkel akan berkongsi maklumat yang telah dipelajari dan dapat memberikan perkhidmatan kesukarelaan dengan lebih baik di peringkat daerah masing-masing.