Sebuah kapal pukat tunda ternyata tidak serik walaupun pernah ditahan atas kesalahan sama iaitu melanggar syarat lesen perikanan dengan menangkap ikan di kedudukan kurang dua batu nautika dari persisiran pantai laut, semalam.
Ketika ditahan, kapal pukat tunda berkenaan dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan di perairan Laut Pulau Sakar, semalam.
Penolong Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Asisten Superintendan Sudirman Latip Karim berkata, kapal nelayan itu dikesan ketika rondaan Op Benteng Covid dijalankan dikawasan berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kapal nelayan berkenaan sudah pernah ditahan atas kesalahan yang sama.
“Kapal berkenaan didapati sudah pernah ditahan kerana melakukan kesalahan sama.
“Kapal nelayan terus dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan Cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sudirman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan bagi kesalahan pertama, pemilik kapal akan dikompaun sebanyak RM500, kesalahan kedua RM1,000 dan kesalahan ketiga RM1,500.
Selain itu katanya, sekiranya kesalahan berulang lesen boleh dibatalkan dan kapal akan disita.
Sehubungan itu, Sudirman berkata, Lahad Datu sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang dan amat mengalu-alukan masyarakat agar menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Katanya, semua maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di talian 013-2831197.
“Orang ramai juga boleh berhubung terus ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu di talian 013-9808084 untuk tindakan segera dilaksanakan,” katanya. – Asia Times

More Stories
Pelajar UMS Buat Lawatan Sambil Belajar, Kenali Operasi Industri Makanan
ToT Pemindahan Teknologi Pendidikan Perkasa Praktis Kerja Sosial Pelajar UMS
Jom Jumpa PROTÉGÉ, platform dunia keusahawanan sebenar